Saturday, October 2, 2010

Oh Hati


Abdullah bin Abbas berkata: "Kebaikan itu mendatangkan sinar pada wajah, cahaya di hati, kelapangan dalam rezeki, kekuatan badan dan perasaan cinta di hati. "Sedangkan dosa itu mendatangkan kesuraman pada wajah, kegelapan di hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan kebencian di hati manusia". 
Sifat pendendam antara punca kepada masalah hati. Mereka sentiasa tidak puas hati ibarat meminum air di lautan; walau banyak yang diminum, ia tetap tidak habis.  Sikap ego yang bersarang dalam hati menjadi ibu sifat mazmumah yang membuatkan seseorang tidak tenang.  Begitu juga dengan rakan atau orang di sekeliling kita. Jika kita berkawan dengan orang soleh, pasti dia membawa kita mengingati Allah manakala orang jahil kepada kesesatan. 'Kematian' hati juga boleh dilihat apabila seseorang itu sedih orang lain mengatasi kehebatannya.  Mereka akan memastikan tidak ada yang boleh lebih daripadanya. Ini menambah sifat dendam yang memalapkan cahaya imannya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati. (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi). 

Jangan menjadikan ketawa keterlaluan sebagai cara menzahirkan perasaan gembira kerana boleh membawa kepada beku dan matinya hati.  Jika hati mati, syaitan mudah membawa kita ke lembah hina. Sementara itu, antara mazmumah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah sifat pemarah. Ego pula membuatkan golongan seperti ini memiliki sifat pantang dicabar. Allah mengunci mati hati dan pendengaran mereka dan penglihatan mereka ditutup. Pemilik hati mati pasti menolak kebenaran dari Allah dan suka melakukan kezaliman terhadap sesama makhluk.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah). Mereka mempunyai mata, tetapi tidak digunakan untuk melihat (tanda kekuasaan Allah). Mereka mempunyai telinga, tetapi tidak gunakan untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah al-Araaf ayat 179). 

Ketahuilah apabila hati menjadi keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Imam al-Ghazali menyatakan apabila seseorang itu tidak mendengar majlis ilmu selama tujuh hari, hatinya menjadi keras.

"Justeru, didiklah diri supaya cintakan majlis ilmu, istiqamah membaca al-Quran, mengamalkan zikir setiap solat selain berkawan dengan orang beragama yang dapat mendorong kita berada di landasan agama yang benar,".  "Hati orang yang banyak dosa pasti merasa sempit selain segala masalah yang dihadapi tidak dapat diselesaikan,"

Allah berfirman yang bermaksud: "Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar ayat 22). 

Bagi meleburkan hati yang keras, sentiasa bertaubat, bersolat lima waktu secara berjemaah dan kerap melakukan qiamulail.

"Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan,"

No comments:

Post a Comment